Skip Ribbon Commands
Skip to main content

Berita JPM

Berita
Kementerian Pertahanan adakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1447
11/07/2025

 


Kementerian Pertahanan mengadakan Majlis Sambutan Ilal Hijrah 1447 secara serentak dengan perisian majlis yang sama di seluruh surau-surau garison, perkhemahan dan pangkalan Angkatan Bersenjata Diraja Brunei (ABDB), termasuk Masjid Pulau Baru-Baru yang berlangsung di Surau Al-Hikmah, Institut Latihan ABDB, Penanjong Garison, hari ini.

Hadir pada majlis tersebut ialah Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) dan Menteri Pertahanan II, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Halbi bin Haji Mohd. Yussof.

Turut hadir, Pemerintah ABDB, Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan, peringkat kepimpinan, pegawai-pegawai dan warga Kementerian Pertahanan.

Antara jemputan khas yang turut diundang di Surau Al-Hikmah ialah Ahli Majlis Mesyuarat Negara selaku Ketua Kampung Sengkarai, Tutong; Setiausaha Tetap dan Timbalan Setiausaha Tetap (Dasar dan Keugamaan), Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU).

Turut diundang, Pemangku Pegawai Daerah Tutong; Penghulu Mukim Pekan Tutong; Ketua Kampung Penanjong; Pemangku Pengarah Hal Ehwal Masjid; wakil-wakil dari Unit Dakwah Tutong dan Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah; Pegawai-pegawai Pemerintah dari Daerah Polis Tutong dan Balai Bomba dan Penyelamat Cawangan Operasi 'E'.

Atur cara majlis dimulakan dengan menunaikan Sembahyang Fardu Subuh Berjemaah, diikuti dengan Tadarus Al-Quran dan Tazkirah bertajuk 'Semarak Hijrah Mencapai Kecemerlangan Yang Mampan' yang disampaikan oleh Timbalan Pegawai Turus Inspektorat Agama, Jabatanarah Agama (JAMA'AT), Kapten Ayza Azrine bin Ayahani.

Majlis kemudiannya diteruskan dengan Sesi Berjalan Pagi menuju ke Masjid Kampung Penanjong.

Antara perisian program di Masjid Kampung Penanjong ialah Sembahyang Sunat Hajat dan Sembahyang Sunat Duha, diikuti dengan penyerahan derma kepada seramai 29 anak-anak yatim Kampung Penanjong menerusi Tabung Infak ABDB dan kutipan dari warga awam Kementerian Pertahanan oleh Yang Berhormat Menteri di JPM dan Menteri Pertahanan II.

Konsep Sambutan Ilal Hijrah 1447 tahun ini menekankan semangat dan erti penghijrahan, yang dizahirkan secara simbolik melalui perjalanan dari surau-surau perkhemahan / pangkalan ke masjid-masjid berdekatan bagi memperingati peristiwa agung Hijrah Nabi Muhammad Sallallahu Alaihi Wasallam dari Kota Mekah ke Kota Madinah.

Di samping bertujuan untuk memupuk semangat perpaduan dan mempereratkan ukhuwah di antara warga Kementerian Pertahanan dan dalam kalangan penduduk setempat.

Sumber berita Pelita Brunei
Sumber foto InfoFoto